MERDEKA CLEAR STOCK!!!! START 10.08.2020 UNTIL 31.08.2020
Cart 0

Tip Penjagaan Kain Songket yang Betul

Tip Penjagaan Kain Songket yang Betul

Songket Malaysia merupakan sejenis kain tenunan tradisional orang Melayu yang mempunyai corak rumit menggunakan benang emas dan perak.

Kain ini dianggap istimewa kerana kebiasaannya hanya dipakai sewaktu majlis besar-besaran, dipakai sebagai pakaian raja sehari atau sewaktu menghadiri majlis formal yang dihadiri oleh orang kenamaan. 

Harganya agak mahal jika dibandingkan dengan fabrik lain lebih-lebih lagi jika buatannya halus dan berkualiti tinggi. Jika anda merupakan peminat songket, anda perlu tahu cara-cara untuk memelihara fabrik ini.

Terdapat dua perkara utama yang perlu ditekankan di sini iaitu pertama, cara pembersihan kain songket setelah ia digunakan dan yang kedua adalah cara penyimpanan kain songket tersebut.


Cara pembersihan kain songket

Cara pembersihan kain songket yang digalakkan adalah dengan menggunakan kaedah dry-cleaning iaitu cara cucian kering tanpa menggunakan air. Proses cucian ini hanya menggunakan pelarut kimia yang melibatkan sedikit rembesan air pada kadar yang paling minima.

Cara ini sangat sesuai kerana membantu mencegah penyusutan serta regangan pada fabrik berbanding jika dibasuh dengan air dan kemudian dijemur berulang-kali. 


Anda tidak digalakkan mencuci kain songket dengan terlalu kerap. Cucian yang terlalu kerap atau rendaman yang terlalu lama boleh menyebabkan tekstur benang pada kain songket tersebut mengembang dan mudah mereput.

Katakanlah tanpa sengaja kain songket anda telah terlekat kotoran degil sehingga tiada cara lain selain menggunakan air yang banyak, jangan rendam kain songket dalam tempoh yang lama dan sekiranya perlu direndam pastikan kurang daripada tempoh satu jam.


Selain itu, anda tidak boleh mencuci kain songket dengan cara yang kasar. Gunakan tangan dan jangan gunakan mesin basuh. Sewaktu mencuci anda boleh gunakan pelembut, tetapi elakkan dari menggunakan peluntur.

Selepas mencuci, pastikan anda buat bilasan dengan cepat. Anda juga tidak boleh memerah kain songket kerana ia boleh menyebabkan benang pada kain songket terputus. Jangan sesekali mengibas kain songket semasa proses basuhan supaya kedudukan struktur benang tenunan pada kain songket tidak beralih. 


Songket tidak boleh dijemur terus di bawah cahaya matahari. Haba melampau daripada panas matahari boleh merosakkan fabriknya. Sebaiknya selepas digunakan dan dibersihkan, gantung terus kain songket di dalam bilik yang terdedah kepada angin dan di bawah tempat yang redup. 

Kebiasaannya kain songket seperti kebaya songket pengantin dan baju songket pengantin yang dipakai oleh raja sehari di hari persandingan hanya dipakai sekejap sahaja. Jadi cucian yang minima sudah memadai jika anda bersungguh mahu membersihkannya.


Cara penyimpanan kain songket 

Beralih pula kepada cara penyimpanan, kain songket perlu disimpan dengan kaedah tertentu dan tidak sama dengan cara simpanan kain biasa. Untuk menyimpannya dengan cara yang betul, pertama sekali bentangkan kain songket, kemudian letakkan kain pelekat di atas kain songket tersebut.

Kain pelekat hendaklah menutupi keseluruhan kain songket. Ini bertujuan mengelakkannya terlipat tanpa sokongan dari kain pelekat. Kemudian gulung kain songket bersama kain pelekat secara menegak sehingga ke hujung kain pelekat tersebut.

Letakkan sokongan di dalamnya supaya ia boleh berdiri dan tidak membengkok apabila disimpan lama. Masukkan sedikit wangian supaya kain tidak berbau.

Seterusnya simpan gulungan songket tadi dengan cermat di dalam almari yang bertutup. Adalah digalakkan sekiranya anda mahu membalut gulungan tersebut dengan plastik supaya terhindar daripada habuk dan lebih selamat.

Sekiranya kain songket tersebut telah dijadikan baju kebaya atau baju sanding songket ia wajar digantung di dalam almari bertutup dan dibalut plastik bagi menjamin kebersihannya. Pastikan tempat simpanannya diperbuat daripada bahan yang tidak berkulat.

Ini kerana kelembapan udara sekeliling akan menggalakkan pertumbuhan kulat atau fungi. Keluarkan kain Songket dari tempat penyimpanan sebulan sekali untuk dianginkan-anginkan apabila kain tersebut sudah lama tidak dipakai.


Pantang larang kain songket 

Pantang larang kain songket ialah dilipat. Anda tidak boleh melipatnya walaupun sekali. Ini bertujuan agar benang tenunan songket tidak patah dan merosakkan motif pada kain songket tersebut.

Anda tidak digalakkan menggosok kain songket dan perlu memastikan kain songket anda tidak ditindih dengan mana-mana fabrik atau persalinan yang lain. Ini kerana kesan haba panas seterika dan beban boleh meninggalkan bekas pada kain songket.

Jadi anda perlu menggulungnya dengan kemas dan elok supaya kain songket tersebut tidak mengalami kedutan.


Mengilatkan kembali kain songket

Untuk memastikan kain songket anda sentiasa kelihatan baharu, anda boleh gunakan teknik gerus untuk mengilatkan kembali kain songket. Kaedah ini menggunakan papan gerus, siput gerus, damar batu dan lilin lebah agar kain songket lebih berseri dalam jangkamasa yang lama. 

Anda digalakkan untuk memahami teknik gerus ni dengan betul sebelum mengaplikasikannya pada kain songket anda supaya hasilnya menjadi dan tidak merosakkan kain.


Kesimpulannya 

Bergitulah sedikit sebanyak tips penjagaan kain songket yang biasa dipraktikkan. Kain songket boleh dijadikan koleksi yang sangat berharga kerana bukan tenunannya sahaja yang rumit, malah penjagaan kain ini juga memerlukan ketelitian yang tinggi.

Hanya orang yang cermat dan teliti sahaja mampu menjaga dan menyimpan kain songket untuk tempoh yang lama. Ini membuatkan semakin lama ia dimiliki dan dijaga, nilainya kepada si pemakai juga menjadi semakin lebih tinggi.

Oleh itu kain songket mestilah dijaga rapi supaya ia boleh tahan lebih lama, sentiasa kelihatan baharu dan tidak mudah rosak.



Older post Newer post