
Malaysia sungguh bertuah dengan masyarakat yang berbilang kaum sehingga membawa pertembungan aneka budaya, bangsa, agama, dan keseniaan. Bangsa Melayu khususnya mempunyai keunikan yang terserlah dari ciri-ciri kemelayuan pada persalinan pakaiannya seperti songket dan tanjak.
Jika dulu dua jenis pakaian ini sering dipakai oleh mereka yang mempunyai kuasa atau kedudukan yang tertentu dan bukannya rakyat marhain seperti kita. Namun pada hari ini semuanya berubah sehingga budaya menolak fahaman tersebut dan membawa persamaan kepada semua tetapi masih mengekalkan keistimewaan yang ada pada kerabat diraja.
Sungguh pun begitu, agak rugi kiranya jika sebagai generasi baru kita tidak mengguna pakai adat resam dan budaya itu sepenuhnya. Tanjak dan songket Malaysia bukan hanya pakaian biasa sebaliknya membawa lambang latar belakang si pemakai. Oleh kerana itu, cubalah fahami pantang larang dan tips-tips yang boleh dipraktikkan semasa menggunakan songket dan tanjak.
1. Teliti tatacara penyimpanan fabrik songket
Salah satu ciri-ciri unik yang ada pada kain songket adalah pada pembuatan kainnya. Bagaimana rumitnya cara pembuatan songket, begitu jugalah rumitnya untuk penjagaan sepanjang masa.
Walaupun songket terkenal dengan kainnya yang tebal dan panas, tetapi ia tidak bermakna songket boleh di buat sesuka hati seperti kain-kain cotton yang lain. Anda perlu memastikan tatacara penyimpanan fabrik tersebut tepat dan sesuai untuk memastikan ia tidak rosak dan tahan lama.
Pertama, bentangkan fabrik songket bersama-sama dengan sehelai kain pelikat yang ditindan di atas lembaran kain songket. Seterusnya, fabrik songket perlu digulung bersama kain pelikat tersebut dalam posisi memanjang sehinggalah ke penghujung. Akhir sekali, simpan gulungan yang sudah siap tadi dengan cermat di dalam almari.
2. Fabrik songket tidak boleh dilipat
Disebabkan fabrik songket adalah keras, anda perlu elakkan daripada melipatnya walaupun sekali.
Hal ini bertujuan untuk mengelakkan benang pada tenunan songket tersebut patah sehingga mengakibatkan motif yang terdapat pada songket rosak. Kaum wanita mungkin tidak ada masalah untuk mengelakkan diri dari perkara ini tetapi kaum Adam selalunya sukar untuk mempraktikkannya.
Contoh mudah, anda boleh lihat jika anda memakai sampin songket. Biasanya anda akan bersiap-siap memakai sampin apabila sampai pada tempat tujuan bukannya dari rumah. Lebih-lebih lagi jika anda memang tidak biasa memakai sampin atau hanya memakainya apabila ada acara-acara tertentu yang mungkin diadakan setahun sekali.
Bila anda tidak bersiap-siap memakai sampin dari rumah, apa yang anda akan buat? Sudah tentu anda akan melipat-lipat fabrik tersebut dan mencampakkannya di dalam kereta. Itulah yang menyebabkan kain sampin anda kedut seribu dan tampak tidak kemas. Anda perlu ingat walau sekali fabrik songket dilipat, ia masih akan meninggalkan kesan lipatan itu. Jadi berhati-hatilah.
3. Perbuatan menggosok fabrik songket adalah salah
Benang tenunan kain songket amat sensitif pada suhu panas di samping ia juga mudah untuk terbakar. Bila kain terbakar, maka rosaklah motif-motif unik yang ada padanya sehingga menjejaskan kualiti tenunan benang emas itu sendiri. Jadi bagaimana untuk memastikan kain itu sentiasa kemas, licin, dan tidak berkedut?
Berbalik pada tips yang pertama tadi, jika betul cara penyimpanan anda maka ia sudah tentu akan memberi kesan kepada kain itu. Ramai yang mementingkan cara penyimpanan dan mempraktikkan tatacara yang betul, mereka tidak merungut pun tentang baju berkedut, rosak atau sebagainya.
Tetapi jika tidak ada jalan lain dan memang kain itu terlalu berkedut, anda boleh mengosok fabrik songket tersebut dengan syarat jangan menggosok secara terus, laraskan pada suhu sederhana, dan pastikan ia dilapik dengan kain lain.
4. Hanya cucian kering sahaja sesuai digunakan
Cucian kering atau “Dry Cleaning” adalah proses membersihkan pakaian tanpa menggunakan air tetapi ia masih melibatkan penggunaan cecair pencuci selain air.
Proses cucian seperti ini sudah semestinya mampu mengekalkan kualiti fabrik dan membantu mengelakkan penyusutan serta regangan selain ia juga dapat menjimatkan banyak masa di mana anda tidak perlu mencuci pakaian menggunakan tangan.
Di samping menggunakan cucian kering, anda juga perlu elakkan dari merendam kain songket. Hal ini kerana sekiranya kain direndam, benang-benang yang ada padanya akan mengembang dan menyebabkan tenunannya akan rosak.
Katakan anda sudah siap cuci dan mahu mengeringkan baju songket tersebut, jangan sesekali cuba-cuba untuk mengibasnya dengan kuat seperti yang anda lakukan pada kain-kain lain. Kibasan yang kuat boleh menyebabkan tenunan songket rosak dan benang-benang berubah dari tenunan asal.
5. Jangan menghempap fabrik songket dengan mana-mana fabrik atau persalinan lain
Kesan sekiranya anda menghempap atau menindih fabrik songket dengan apa-apa objek atau fabrik lain memang akan merosakkan tenunan kain tersebut. Hargailah songket sebagai lambang kemewahan dan identiti esklusif yang mencirikan pakaian golongan-golongan bangsawan apabila anda memilikinya.
Harga songket juga tidak murah, dan seperti kebiasaan sesuatu yang mahal itu akan mendapat penjagaan yang lebih baik dari sesuatu yang murah. Oleh itu, fabrik songket adalah fabrik mewah yang perlu dijaga.
Tips untuk memastikan kain songket anda sentiasa kelihatan baru, anda boleh menggunakan kaedah gerus untuk mengilatkannya kembali. Apa yang anda perlukan cuma papan gerus, siput gerus, damar batu dan lilin lebah.
6. Berhati-hati dalam membuat simpulan atau lipatan tanjak
Jika anda perasan di filem-filem Melayu lama, baju pendekar Melayu akan dipadankan dengan jenis atau lipatan tanjak yang berbeza-beza. Tanjak apabila salah dipakai boleh melanggar adat dan itulah yang berlaku pada hari ini.
Contohnya, “tanjak bugis tak balik” banyak dipakai pada negeri-negeri yang mempunyai pengaruh Bugis seperti Terengganu, Johor, Selangor dan Perak. Destar berwarna merah ini merupakan ikatan hulu masyarakat Bugis di Sarawak.
Manakala untuk kerabat di-Raja dan Orang besar Empat Negeri Pahang, mereka biasanya akan memakai tanjak sekelongsong bunga yang berkain hitam. Banyak lagi yang boleh anda pelajari dari jenis-jenis tanjak dan tujuan ia dipakai.
7. Gunakan tekstik yang tepat untuk membuat tanjak
Lazimnya, tanjak diperbuat dari kain jenis songket, kain pelikat, atau kapas. Saiznya pula kira-kira semeter dan ands perlu memastikan yang anda menggunakan tekstil kain gam. Tekstil jenis ini mempunyai tekstur yang keras dan mudah untuk dibentuk seterusnya memudahkan proses lipatan tanjak tersebut.
Budaya dan kehidupan tidak boleh dipisahkan kerana itulah lambang identiti bangsa. Diharapkan artikel berkenaan pantang larang kain songket dan tanjak ini memberikan anda pengetahuan baru untuk mempraktikkan cara yang berkesan dalam penjagaan khazanah budaya kita.