Cart 0

5 Tips Cara Pakai Songket Lelaki

Artikel pada kali ini akan memberikan anda tips cara pakai songket lelaki khusus kepada samping. Apa yang menarik bagi sepasang busana lelaki jika tanpa elemen songket Malaysia? 

Mungkin ramai yang tidak perasan setiap perincian dalam busana tersebut membawa erti yang berbeza di antara satu sama lain. Perbezaan inilah yang akan membentuk variasi keunikannya yang tersendiri kepada si pemakai. 

Contohnya seperti ikatan kain samping adalah berbeza mengikut situasi dan adat sesebuah negeri. 


Sejarah Samping Baju Melayu

Sinonimnya, samping di pakai pada zaman dahulu untuk menunjukkan darjat seseorang dari golongan Raja, Sultan, kerabat, pembesar atau rakyat biasa. Namun hari ini, sampin dianggap untuk membezakan status si pemakai sama ada bujang atau sudah berkahwin

Lelaki yang masih bujang akan memakainya di atas paras lutut manakala lelaki yang sudah berkahwin akan memakainya di bawah paras lutut. 


5 Jenis Ikatan

1. Ikatan Pancung

Ikatan pancung sangat eksklusif dipakai oleh pengantin di majlis perkahwinan mereka. Untuk memulakan, anda perlu memastikan bahagian jahitan samping berada di bahagian tengah selari dengan pusat anda. 

Dalam masa yang sama tarik nafas dan tahan seketika. Gengam dengan ketat kain yang berada di hujung perut lalu pusingkan ikatan tersebut sehingga anda berasa ketat di bahagian perut. Kemudian, ikat sementara bahagian kain yang terjuntai

Anda boleh menggunakan bengkuk di bawah ikatan sementara tadi dan pinkan hujung bengkung. Anda perlu tarik dan tahan nafas sekali lagi ketika melilitkan bengkung. Pusingkan bahagian yang ada pin di bahagian belakang badan dan buka semula ikatan sementara tadi. 

Pastikan anda memasukkan ikatan yang telah terbuka itu ke dalam bengkung dan kemaskan. 


2. Ikatan Kembung

Ikatan ini agak popular di kalangan pengantin lelaki dalam adat pernikahan Melayu. Kata “kembung” berasal dari kesan menggembung saat memakai ikatan ini. Mempelai lelaki yang mengenakan baju kahwin songket atau baju melayu songket dalam busana pilihannya pasti akan gemar memilih lilitan kembung kerana kesempurnaan sentuhan akhir yang pada bentuknya akan menambah lagi seri pada mereka. 

Untuk cara pemakaian ikatan jenis ini, kain samping terlebih dahulu perlu dilembarkan pada badan anda. 

Kemudian, anda perlu tarik kain samping sama ada ke bahagian tengah atau tepi badan mengikut keselesaan anda. Selepas itu, bentukkan ikatan atau simpulan corak bunga di bahagian tersebut agar kekal tersemat molek di pinggang.

Selalunya untuk merapikan bahagian ikatan berkenaan, bengkung akan digunakan tetapi anda juga boleh merapikan secara manual dengan cara memastikan ianya sekata. Saiz corak yang disimpul haruslah sederhana iaitu tidak terlalu besar sehingga menutupi bahagian pinggang dan tidak terlalu kecil sehingga terlihat seperti gumpulan biasa.


3. Ikatan Lingkup

Lazimnya, ikatan lingkup mudah terlihat pada kebiasaan kaum Adam yang memakai baju melayu songket atau baju melayu biasa. Tanpa sebarang lilitan atau potongan pelik, ikatan lingkup hanya memerlukan kain samping digulung ke atas dan dilingkup ke bahagian depan atau bahagian sisi. 

Ikatan ini lebih mudah dipraktikkan berbanding ikatan-ikatan lain kerana setiap hari anda akan memakai kain pelikat untuk solat atau sebagai pakaian di rumah yang mana ianya juga menggunakan jenis ikatan yang sama.


4. Ikatan Teruna 

Ikatan teruna sama seperti ikatan lingkup. Namun yang membezakannya adalah kedudukan pada bahagian kain yang terbuka. Bagi lelaki, lebihan kain tersebut perlu ke kanan manakala bagi perempuan ke kiri kerana sebagai perlambangan tulang rusak.


5. Ikatan Dendang Perantau

Dahulunya dipanggil ikatan perantau tetapi apabila menggunakan kain samping yang pendek panggilannya mula berubah menjadi ikatan dendang perantau. Pertama sekali, pastikan dua ibu jari anda menolak kain ke depan dan kemudian bahagian tengahnya diletak pula ke atas. 

Ikat sahaja kain tersebut dengan ikatan atau cerutan biasa sebanyak dua kali. Ini bertujuan untuk memastikan ianya ketat di pinggang anda. Lebihan bahagian tengah yang tidak di ikat perlu ditarik sehingga yang bawah naik ke atas. Anda akan mendapati terdapat bahagian yang berlubang di bahagian bawah. Untuk menjadikan bahagian berlubang itu ke atas, anda perlu tolak bahagian atas ke bawah. 

Bentuk kain yang terkeluar akan kelihatan seakan-akan seperti sebuah poket. Anda harus pastikan saiznya tidak terlalu besar. Uniknya poket itu mendefinisikan berbagai maksud untuk setiap kedudukan. Bagi duda atau janda, maka kedudukan poket perlu berada di bahagian tengah. Bagi lelaki, kedudukannya perlu di bahagian kanan manakala perempuan di bahagian kiri. 


Pemakaian songket dan samping bukan hanya tinggalan warisan seni semata-mata, sebaliknya ia mempunyai penceritaan dan perlambangan tertentu yang menjadikan busana itu indah serta dekat dengan masyarakat berbilang bangsa. Di harapkan artikel tentang tips cara pakai songket lelaki memberikan anda informasi yang berguna untuk pemakaian yang betul. 



Older post Newer post